Wednesday, February 10, 2016

Kenyataan media Wong Hon Wai berkenaan demonstrasi Persatuan Muka Buku Pulau Pinang

Kenyataan Media oleh Wong Hon Wai, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada 10-2-2016 di George Town, Pulau Pinang

----------------------

Saya ingin mengecam tindakan sekumpulan 10 orang dari Persatuan Muka Buku Pulau Pinang yang membuat demonstrasi semasa Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng pada hari pertama Tahun Baru Cina. Ini adalah tindakan tidak bertamadun (uncivilised)  dan menunjukkan kekurangan ajar oleh pendemonstrasi tersebut.

Hari Pertama Tahun Baru Cina adalah hari yang murni dan disambut oleh semua tanpa mengira latarbelakang politik. Inilah sebabnya Majlis Rumah Terbuka Ketua Menteri di sPICE , Pulau Pinang dimeriahkan dengan kehadiran 15,000 orang tetamu undangan dan orang ramai.

Kad demonstrasi oleh Persatuan Berkenaan bahawa DAP menerima RM1.2 billion dari Israel adalah tuduhan liar yang tidak berasas sama sekali. DAP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berulangkali menafikan tuduhan liar sebegini dan menyatakan ia fitnah  jahat semata-mata.

Persatuan Muka Buku memilih hari pertama Tahun Baru Cina untuk menyatakan fitnah tersebut memanglah mempunyai agenda tersembunyi dan ingin mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan. Mereka berbuat demikian untuk mengalihkan perhatian semua dari skandal Perdana Menteri berkenaan RM2.6 bilion dan skandal 1MDB.

Saya berasa risau terhadap kad yang dipegang oleh seorang pendemonstrasi yang berbunyi "Tumbangkan DAP adalah jihad!!!!". Ini adalah jelas mengapi-apikan sentimen keagamaan untuk mencapai agenda tersembunyi Persatuan Muka Buku Pulau Pinang dan bos politik mereka.

Persatuan Muka Buku Pulau Pinang pernah mengeluarkan kenyataan sebelum ini membantah penganjuran Pesta Gawai dan Kaamatan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Mereka menggunakan pelbagai sentimen perkauman dan keagamaan untuk  meminta Kerajaan Negeri membatalkan Pesta tersebut.  Tetapi, pada realitinya, Pesta Gawai dan Kaamatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dihadiri melebihi 5000 orang yang kebanyakannya rakyat Malaysia dari Sarawak dan Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Pulau Pinang.

Sebagai Kerajaan yang inclusif, Pulau Pinanglah satu-satunya Negeri yang menganjurkan Pesta Gawai dan Kaamatan di Semenanjung Malaysia. Ini menunjukkan semangat Malaysia yang tulen dan sebenarnya.

Saya meminta pihak Pejabat Peguam Negara membuka kertas sisasatan terhadap Persatuan sebegini yang menyatakan kata-kata dan kelakuan yang berlawanan dengan semangat Malaysia yang majmuk dan mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan.

No comments: